Cabaran-cabaran dalam membentuk masyarakat malaysia tentang gejala sosial

 



MPU23042
NILAI MASYARAKAT MALAYSIA
JABATAN PERDAGANGAN
DIPLOMA PENGAJIAN PERNIAGAAN

CABARAN-CABARAN DALAM MEMBENTUK MASYARAKAT MALAYSIA TENTANG GEJALA SOSIAL



PENSYARAH : ENCIK KAMALUDIN BIN DENI
POLITEKNIK MUKAH SARAWAK 






VANDALISME 



      Cabaran yang pertama ialah vandalisme. Vandalisme adalah membuat sebarang perubahan seperti melukis, menanda, mengecat, menampal dan merosakkan harta benda awam atau harta peribadi orang lain. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan. Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya. Punca vandalisme ini berlaku kerana remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya ini boleh menyebabkan remaja biasanya lebih mudah meniru dengan menerima ajakan rakan tanpa memikir akan kesan buruknya. Pengaruh rakan sebaya juga akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Media massa juga mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Bukan itu sahaja, paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya. Kesan vandalisme sekiranya perbuatam vandalisme tidak dikawal dengan baik, ia tidak dapat berfungsi pada masa kecemasan dan pekara ini mungkin akan menyebabkan kehilangan nyawa atau mengalami kerugian orang lain. Walaupun vandalisme bukan sesuatu jenayah yang sangat serius tetapi perbuatan ini akan menjejaskan kestabilan ekonomi sesebuah negara. Hal ini kerana kegiatan vandalisme telah menyebabkan pelabur asing menghilangkan keyakinan kepada negara tersebut dan akhirnya menyebabkan kerugian besar dalam sektor ekonomi yang sedang membangun. Penyelesaian bagi masalah vandalisme ini yang paling pertama ialah pendidikan. Sistem pendidikan yang mantap dan kukuh dapat membendung gejala vandalisme. Menurut Datuk Lee Tam Thye, beliau menjelaskan hanya melalui pendidikan, kita dapat memupuk semangat antivandalisme dan meningkatkan kesedaran remaja tentang sikap memelihara harta benda awam. Justeru, remaja hendaklah didedahkan kepada kesedaran sivik sejak dari awal lagi kerana setiap anak yang dilahirkan hanya menanti warna budaya yang bakal dicorakkan oleh ibu bapa. Jelaslah bahawa kalau baik budaya hidup dan acuan dari rumahnya, maka baiklah peribadi remaja.


PENYALAHGUNAAN DADAH


       Selain itu, cabaran yang kedua ialah penyalahgunaan dadah. Penggunaan bahan yang bertentangan dengan kepentingan rawatanya, yang merangkumi alkohol, tembakau, kokain, marijuana (ganja), dadah-dadah perangsang, LSD dan inhalan (bahan yang disedut). Penyalahgunaan dadah atau bahan terlarang melibatkan perlakuan yang berulang-ulang atau penggunaan dadah yang berlebihan. Pada kebiasaannya ia akan mendatangkan perasaan gembira melampau atau ketagih bertujuan lari daripada kenyataan yang akhirnya boleh menganggu kehidupan seharian. Penyalahgunaan dadah yang berleluasa kini bukan sahaja melibatkan golongan dewasa, tetapi juga melibatkan remaja yang masih bersekolah. Punca berlakunya penyalahgunaan dadah kerana remaja tidak mendapat kasih sayang dari keluarga. Remaja-remaja yang tidak mendapat prihatin daripada keluarga mereka sentiasa diabai.Untuk mengatasi rasa kesedihan yang dihadapi,mereka mengambil dadah yang membolehkan mereka bakal dan menjadi penagih dadah selepas memakainya. Bukan itu sahaja Remaja pada peringkat ini adalah penuh dengan rasa ingin tahu dan mencuba. Apabila mereka mendapat dadah,mereka ingin tahu apakah kesan selepas menggunakannya. Tetapi, mereka tidak menyedari bahawa mereka telah terjatuh ke dalam perangkap pengedar dadah yang hanya mementingkan kepentingan diri sendiri sahaja. Manakala, kesan penyalahgunaan dadah akan memudahkan kita akan menjejaskan masalah kesihatan. Remaja yang menagih dadah selepas suatu jangka masa yang panjang akan menghadapi masalah kesihatan seperti kegagalan fungsi, penyakit mental, kanser dan sebagainya. Hal ini disebabkan dadah mengandungi kandungan ubat yang beracun. Mengikut kajian yang dijalankan, sesetengah pil ecstacy yang dijual mengandungi ubat tikus yang beracun serta serpihan kaca. Serpihan kaca yang dibubuh ke dalam dadah adalah untuk mempercepatkan kesan ubat tersebut ke atas penagih. penyelesaikan bagi masalah penyalahgunaan dadah ini ialah kerajaan haruslah mengetatkan undang-undang. Kerajaan memainkan peranan yang penting dalam menghapuskan gejala ini terutamanya di kalangan remaja. Undang-undang yang berkaitan dengan dadah harus dipreketatkan lagi agar pengedar dan penagih dadah akan bertaubat. Dengan adanya undang-undang yang baik tetapi pelaksanaan yang lemah tidak akan membantu kita dalam menghapuskan gejala ini. Oleh itu, pihak polis harus sentiasa mengadakan pemeriksaan yang ketat di kastam-kastam untuk menghalang pengedar dadah yang berniat menyeludup dadah ke dalam negara kita.


Gangsterism


    Seterusnya, cabaran ketiga ialah gengsterism. Gengsterism atau juga boleh dikenali sebagai gejala samseng adalah sejenis salah laku di kalangan generasi muda yang sentiasa berlaku dari dahulu sehinggalah sekarang. Kes-kes mengenai gengsterism yang melibatkan golongan remaja ini mempunyai peratus yang tertinggi. Ini kerana golongan remaja sangat mudah terdedah dengan keadaan persekitaran dengan syarat mereka dapat memperolehi keseronokan dalam kumpulan mereka. Kebanyakan kumpulan remaja yang menubuhkan kumpulan ini terdiri daripada usia 16 hingga 17 tahun yang dibuang atau dicicir daripada sekolah. Contohnya, di Kuala Lumpur sekumpulan remaja berusia 16-17 tahun yang tercicir daripada persekolahan telah menubuhkan kumpulan samun. Kumpulan tersebut bergerak selepas jam 12 malam hingga awal pagi dengan menggunakan motosikal dan membuat tinjauan di sesuatu kawasan perumahan dan tempat awam sebelum meragut mangsa terutama mereka yang berjalan bersendirian di tempat sunyi. Kumpulan samun ini terdiri daripada sekumpulan remaja ini akan bergerak dengan motosikal daripada 12 malam hingga awal pagi mencari mangsa untuk menyamun atau meragut. Malah kebanyakan kes gengsterisme yang menggunakan kekerasan dan alat berbahaya yang boleh mengakibatkan kematian, kerosakan harta benda awam dan lain - lain. Sebagai contoh, terdapat laporan mengenai seorang kerani wanita mati dilanggar selepas bertengkar dalam nahas kecil. Dia mati dilanggar oleh sebuah kereta Proton Waja yang menggunakan nombor pendaftaran motorsikal Modenas selepas dikatakan bertengkar dengan pemandu kereta terbabit iaitu seorang lelaki berusia dalam 20-an ekoran kemalangan kecil tersebut. Kejadian ini merupakan satu contoh mudah bagaimana budaya samseng berleluasa pada masa kini. Majoriti yang menjadi gangster merupakan lelaki. Kini isu gengsterisme ini juga menjadi bertambah serius apabila semakin ramai pelajar perempuan dikesan terlibat dalam gejala ini.


Lari Dari Rumah


    Di samping itu, cabaran keempat dalam membentuk masyarakat Malaysia ialah lari dari rumah. Isu ini sering berlaku di kalangan remaja yang mengalami masalah keluarga akibat kepincangan ibu bapa dalam menguruskan rumahtangga dan keluarga. Dewasa ini, ibu bapa kurang berinteraksi dan berkomunikasi sesama keluarga kerana lebih mementingkan kerja dan menyebabkan hubungan menjadi renggang dan anak-anak juga terabai. Keadaan ini menyebabkan anak-anak memerlukan kasih sayang serta mereka juga akan mengalami perasaan kecewa dan tekanan jiwa kerana kekurangan perhatian daripada ibu bapa mereka sendiri. Selain itu, keruntuhan institusi keluarga akibat pertelingkahan antara ibu bapa juga boleh menyebabkan anak-anak ingin lari dari rumah. Hal ini berlaku kerana ketiadaan persefahaman dan kurangnya kemahiran mengurus rumah tangga di kalangan suami isteri sering menyebabkan konflik dan keretakan rumah tangga. Akibatnya, anak-anak akan menanggung penderitaan jiwa lalu bertindak memberontak terhadap keadaan ini dengan melarikan diri dari rumah. Kemudian, remaja mudah terpengaruh dengan rakan-rakan di luar untuk mencari keseronokan kerana apabila berada di rumah mereka sering terkongkong akibat persekitaran rumah yang sempit, adik beradik yang ramai atau dimarahi ibu bapa. Malah terdapat juga isu lari rumah yang disebabkan oleh mengikut teman lelaki, kemiskinan keluarga, pengaruh filem dan lain-lain. Oleh sebab itu, kes lari dari rumah telah menjadi semakin serius apabila 26,092 orang telah dilaporkan hilang dalam tempoh 1990-1996 dan kebanyaknnya adalah remaja. Tegasnya, Ibubapa adalah pihak paling penting dalam menentukan tingkah laku anak. Setiap perlakuan anak dipengaruhi sepanjang proses pembesaran mereka.


 PERLUMBAAN HARAM


    Bukan itu sahaja, isu rempit dan perlumbaan haram juga merupakan cabaran dalam membentuk masyarakat Malaysia. Perlumbaan haram bermaksud suatu perlumbaan yang melibatkan kenderaan bermotor di atas jalan raya awam tanpa kebenaran dari pihak berkuasa ataupun dianjurkan tanpa pengajur yang sah. Mat rempit pula bermaksud penunggang yang terlibat dalam perlumbaan haram tersebut. Mat rempit lebih dikenali sebagai penunggang motor yang terlibat dalam pelbagai lumba haram dan sering kali dikaitkan bersama minah rempit. Perlumbaan haram melibatkan pelbagai jenis kenderaan tetapi motor merupakan kenderaan yang paling biasa digunakan di Malaysia. Lumba haram bukan sahaja menjadi satu masalah moral di kalangan remaja ataupun pelajar sekolah, malahan merupakan satu masalah moral tempatan yang serius bagi negara kita. Perlumbaan haram selalunya dijalankan pada waktu lewat malam dan bandar-bandar besar. Di Malaysia, menonton perlumbaan haram juga merupakan satu kesalahan kerana akan menggalakkan pelumba haram untuk terus berlumba tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Punca yang menyebabkan rempit adalah sifat ingin mencuba. Hal ini dikatakan sedemikian kerana anak-anak muda berdarah muda sememangnya cenderung untuk mencuba perkara-perkara baru terutamanya perkara yang mencabar keberanian mereka. Filem-filem ganas yang ditonton mendorong kepada sifat ingin mencuba sendiri lumba haram seperti yang mereka lihat dalam filem tersebut. Pengaruh rakan sebaya juga tidak kurang besarnya peranan dalam masalah sosial ini. Remaja lebih senang meluangkan masa bersama rakan sebaya dan mereka akan lebih mudah terpengaruh sekiranya mereka tersalah pilih rakan. Sesetengah remaja juga terikut-ikut dengan aktiviti lumba haram dan rempit kerana ingin melepaskan rasa marah terhadap keluarga yang kurang memberikan perhatian ataupun suasana rumah yang tidak aman. Segelintir pula melakukan aktiviti itu hanya untuk suka-suka. Beberapa lumba haram pula menyediakan wang, perempuan, dadah dan lain-lain sebagai habuan dan ini semestinya menarik minat pelbagai lapisan umur generasi muda. Mat rempit juga menyediakan peluang bagi seseorang itu membuktikan nilai diri, kelelakian dan keseronokan mudah dengan perlumbaan haram lebih-lebih lagi apabila melawan penguatkuasa undang-undang (Rozmi Ismail, 2004). Oleh itu, mereka lebih berkobar-kobar untuk mengikuti aktiviti yang tidak berfaedah itu. 


PEMBUANGAN BAYI


     Meninjau dari skop yang lain, kes pembuangan bayi sama dengan penyakit sosial yang lain akan membelenggu negara kita daripada menjadi masyarakat penyayang. Pembangunan dari segi kerohanian pasti terbantut jika nilai kemanusiaan diketepikan. Pembuangan bayi bermaksud perbuatan mencampakkan atau menghapuskan anak kecil yang tidak berdosa ke merata-rata tempat tanpa ada sifat berperikemanusiaan. Undang-undang negara kita seperti kebanyakkan negara lain turut mengharamkan pengguguran dan pembuangan bayi kerana ia adalah satu jenayah. Malah, mereka yang terbabit dalam kes boleh didakwa. Jenayah ini sering berlaku dalam kalangan remaja yang kurang didikan dan kefahaman agama. Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pendoman hidup remaja telah menyebabkan mereka hilang haluan dalam kehidupan dan seterusnya terlibat dalam gejala-gejala negatif seperti pergaulan bebas dan sebagainya. Remaja yang terlibat diri dalam gejala pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sudah semestinya menjalinkan hubungan di luar tabi. Hal ini telah menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum ada ikatan yang sah. Dalam situasi tersebut, remaja yang hilang pengangan agama tidak teragak-agak untuk membuang dan meninggalkan anak mereka selepas dilahirkan. Lebih teruk lagi, ada segelintir remaja membunuh dan membakar bayi yang mereka lahirkan semata-mata mahu menghilangkan bukti hasil hubungan sulit mereka. Sikap negatif mereka ini telah menimbulkan seribu tanda tanya kepada masyarakat tantang kewibawaan mereka dalam memacu Malaysia ke arah pemodenan pada masa hadapan. Di samping itu, sikap masyarakat yang suka mengkritik dan menghukum turut menyebabkan masalah pembuangan bayi ini berlaku. Sebagai conptoh, apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah, sudah pastinya masyarakat setempat mengina dan memandang seorang padanya. Secara tidak langsung, remaja perempuan itu juga pastinya dianggap menjatuhkan maruah keluarganya. Remaja perempuan berasa tertekan dengan bebanan yang ditanggung seorang diri tanpa sokongan daripada pelbagai pihak. Demi menjaga imej sendiri dan juga keluarga, remaja tersebut mengambil jalan mudah dengan membuang bayinya ekoran bimbang dipandang jijik dan hina oleh masyarakat. Jalan mudah yang diambil oleh mereka membuktikan bahawa mereka memerlukan bimbingan dan sokongan daripada masyarakat untuk menyelesaikan masalah yang mereka alami



PONTENG SEKOLAH



    Selaras dengan itu, cabaran yang kelima ialah ponteng sekolah. Ponteng merupakan satu perbuatan salah laku dan melanggar peraturan sekolah. Ini bermaksud seseorang pelajar dianggap ponteng sekiranya tidak hadir ke sekolah tanpa sebab-sebab yang dibenarkan pada hari persekolahan. Oleh yang demikian, ponteng merupakan istilah yang digunakan bagi merujuk kepada apa jua kegagalan menghadiri kelas di sekolah secara sengaja tanpa alasan yang munasabah. Ponteng sekolah adalah salah satu isu gejala sosial terutamanya melibatkan para pelajar khususnya merujuk kepada golongan pelajar peringkat sekolah Menengah. Tidak disangkal bahawa isu gejala sosial sekolah boleh menjadi landasan lencongan untuk pelajar terlibat dengan gejala sosial lebih serius iaitu berunsur jenayah. Senario remaja sekolah yang pada mulanya hanya terbabit dengan isu gejala ponteng sekolah dan kemudian didapati sabit terlibat dengan kes-kes jenayah berat kerap berlaku. Punca berlakunya ponteng sekolah dikalangan pelajar adalah pengaruh rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya juga turut memainkan peranan yang kuat dalam mempengaruhi pelajar lain untuk ponteng sekolah. Ajakan daripada rakan sebaya mereka untuk ponteng sekolah akan mempengaruhi minda pelajar-pelajar yang tidak berfikir secara rasional. Mereka akan menurut segala ajakan dan pelawaan rakan-rakan mereka tanpa berfikir panjang. Rakan-rakan yang bercadang untuk ponteng sekolah akan memberikan pelbagai alasan yang munasabah seperti pelajaran di sekolah sangat membosankan dan sebagainya. Mereka menberi tanggapan bahawa aktiviti ponteng sekolah dapat menenangkan fikiran dan ini menjadi alasan untuk mereka tidak hadir ke sekolah. Kesan ponteng sekolah terhadap pelajar ialah, masyarakat memandang serong kepada pelajar .Kesan kedua yang dihadapi adalah masyarakat akan memandang rendah ataupun hina kepada mereka dan ini secara tidak langsung mereka akan memalukan maruah keluarga. Sebagai contoh, apabila seseorang ternampak sekumpulan pelajar tengah ponteng sekolah, satu-satunya pendapat mereka terhadap pelajar tersebut adalah mereka adalah “sampah” masyarakat kerana mereka tidak dapat memberi perkhidmatan kepada masyarat pada masa depan. Masyarakat juga akan memarahi ibu bapa mereka kerana mereka tidak dapat mendidik anak-anaknya dengan baik dan mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai penjaga. Seterusnya, masa depan tidak terjamin. Kesan lain yang akan dihadapi adalah pelajar tersebut adalah mereka akan ditertawakan oleh rakan-rakan lain sekiranya mereka gagal dan masa depan pelajar ini akan hancur kerana mereka tidak lagi dapat dipercayai oleh masyarakat dan negara akan kekurangan bakal peneraju yang berwawasan.


SEKS BEBAS




     Kemudiannya, cabaran yang keenam ialah seks bebas. Seks bebas ialah merupakan desakan reproduktif yang semula jadi bagi seseorang untuk memulakan satu keluarga dan juga tarikan seksual yang biasanya dikongsi di antara satu pasangan. Perlakuan seks bebas ialah pergaulan seks tanpa mengira pasangannya. Seks bebas merupakan aktiviti yang tidak sihat kerana ianya membawa banyak implikasi yang negatif. Seks bebas juga antara masalah yang semakin meruncing melibatkan remaja bandar dan luar bandar. Lebih menyedihkan, remaja yang terbabit berusia seawal 12 tahun. Punca berlakunya seks bebas adalah tahap iman yang lemah. Kebanyakan remaja yang terlibat dalam pergaulan bebas mempunyai kelemahan iman, ketandusan ilmu dan kurangnya penghayatan agama mendorong seseorang itu dikuasai nafsu daripada menggunakan akal fikiran yang waras. Tahap iman manusia hidup dalam jiwanya yang lemah dan kosong. Manusia yang lemah tidak takut dan gentar akan hari pembalasan di akhirat kelak. Akibatnya, mereka tidak dapat membezakan kebaikan dan keburukan dan antara kebenaran dan kebatilan. Pengaruh dari rakan-rakan dan juga video lucah antara punya berlakunya masalah seks bebas. Kesannya terhadap remaja yang melakukan seks bebas ialah berlakunya kes pembuangan bayi. Remaja yang terlibat dalam pergaulan bebas akan menjalinkan hubungan di luar tabii. Hal ini menyebabkan remaja perempuan mengandung sebelum berkahwin. Dalam situasi tersebut, remaja yang hilang pegangan agama akan menjadi tidak berperikemanusiaan lalu meninggalkan anak yang baru dilahirkan di tempat- tempat seperti tandas awam, tong sampah, tepi longkang dan sebagainya. Memandangkan masalah ini semakin menular di kalangan remaja, langkah-langkah perlu diambil untuk menyelesaikan masalah ini. Langkah-langkah yang patut diambil adalah peranan ibu bapa. Ibu bapa harus mengambil berat tentang pergaulan anak-anak mereka. Rakan-rakan anak harus dikenali dengan lebih mendalam. Ibu bapa perlu mengawasi perilaku anak-anak. Peribahasa Melayu ada menyebut,” kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang”. Setiap perbuatan yang dilakukan oleh anak-anak pasti ada penyebabnya. Sehubungan dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa mengikuti perkembangan diri anak-anak remaja mereka. Pergaulan bebas anatara lelaki dan perempuan sudah sinonim dengan masyarakat. Seluar ketat, baju singkat hingga menampakkan pusat ibarat suatu adat. Maka, di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranannya iaitu meninjau perubahan sikap anak-anak mereka. Bagi menangani punca-punca ini, pelbagai inisiatif telah diambil oleh variasi pihak. Antara cara demi menangani polemik sosial ini ialah mengadakan sesi kaunseling yang melibatkan pihak sekolah, ibu bapa dan remaja itu sendiri. Menerusi pendekatan ini, masalah yang menyebabkan seseorang pelajar ponteng dapat dikesan. Pihak kaunselor harus menerangkan impak negatif aktiviti ponteng supaya pelajar tersebut sedar dan berhati-hati menongkah arus kehidupannya. Hal ini dilihat berkesan demi mengurangkan kadar pertambahan bilangan pelajar yang ponteng sekolah, kerana peribahasa ghalib menyebut "sediakan payung sebelum hujan". Makanya, apabila pihak yang berkenaan sudah mengetahui punca-punca gejala ponteng, usaha membanteras juga lebih efektif.



KESIMPULAN




     Kesimpulannya, semua anggota masyarakat tidak kira peringkat bawahan atau atasan perlu mengambil inisiatif untuk membendung gejala sosial ini dan terus menular dengan lebih serius. Setiap inidividu, keluarga dan masyarakat di satu-satu kawasan perlu bekerjasama dan mempunyai peranan dalam pencegahan gejala sosial ini. Masyarakat juga perlu menyokong usaha pihak lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan dalam melaksanakan program-program untuk remaja. Strategi ini juga untuk mewujudkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat tentang bahayanya gejala sosial ini jika tidak dibendung. Didikan agama di sekolah mahupun di rumah amatlah penting kerana ia dapat dijadikan panduan.


Ulasan